Sunday, February 27, 2011


KERJA KURSUS CTU551

Disediakan untuk :
Ustaz Abd Aziz Bin Harjin
Pensyarah CTU551                                  

Disediakan oleh :
Hanishah Karimah Binti Ahmad Khairi                
No.Matrik : 2010891644
Kumpulan : BMB2Bc
Program :
Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Pengurusan Sumber Manusia) (Kepujian) (BM223)
Tarikh hantar : 01 Mac 2011


ISI KANDUNGAN

BIL.
PERKARA
01
TAJUK
02
ABSTRAK
03
PENDAHULUAN
04
HURAIAN

*LATAR BELAKANG

*SUMBANGAN

*MASALAH DAN HARAPAN

*PENCAPAIAN
05
KESIMPULAN
06
LAMPIRAN
07
RUJUKAN



TAJUK
SEORANG TOKOH (IMAM).

ABSTRAK
               Imam bererti seorang pemimpin atau orang yang berada di hadapan. Istilah Imam tidak menyatakan secara tidak langsung segala pengertian mengenai kesucian. Imam adalah seseorang  yang memiliki beberapa pengikut,berdasarkan kenyataan tersebut adakah seseorang itu soleh atau tidak. Al-Qur’an sendiri telah menggunakan istilah ini berdasarkan dua pengertian di atas. Pada satu tempat al-Qur’an mengatakan:
“Kami telah menjadikan mereka itu sebagai Imam-imam yang memberi petunjuk dengan perintah (izin) Kami.” (QS 21 (AL-ANBIYA’):73)
Di tempat lain al-Qur’an mengatakan:
“Kami menjadikan mereka pemimpin-pemimpin (imam-imam) yang menyeru kepada neraka.” (QS 28(AL-QASHASH):41)
Berkenaan dengan Fir’aun, al-Qur’an menggunakan kalimah  yang memberikan suatu pengertian yang serupa dengan seorang Imam atau pemimpin. Ia mengatakan:
“Ia berjalan di muka kaumnya di hari kiamat lalu memasukkan mereka ke dalam neraka.” (QS 11(HUD):98)
Oleh itu, Imam secara harfiah bererti seorang pemimpin.Berikutnya, pengertian imam sebagai  pemimpin (Imamah) dalam erti yang positif, yakni kepemimpinan umat Islam mengikut sabda Nabi Muhammad SAW...
              Asal ketaatan kepada kepemimpinan adalah wajib. Ini berpandukan kepada firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul-Nya dan ulil amri daripada kalangan kamu.” (Surah al-Nisaa’, ayat 59) Rasulullah SAW bersabda dalam satu hadis yang diriwayatkan Abu Hurairah yang bermaksud:“Sesiapa yang mentaatiku, maka sesungguhnya dia telah mentaati Allah, dan sesiapa yang menderhakaiku, maka sesungguhnya dia telah menderhakai Allah, dan sesiapa yang mentaati pemimpin-pemimpinku, maka dia sesungguhnya mentaatiku, dan sesiapa yang menderhakai perintah pemimpin-pemimpinku, maka sesungguhnya dia telah menderhakaiku.” (Sahih Bukhari,Fath al-Bari, ibn Hajr al-Asqalani) Sabda Rasulullah SAW lagi yang bermaksud: “Hendaklah kamu dengar dan taat kepada perintah pemimpin walaupun ianya adalah seorang hamba habsyi (dari Habsyah) yang hitam rambutnya (berwajah hitam).” (Sahih Bukhari, Fath al-Bari, ibn Hajr al-Asqalani) Doktor Wahbah al-Zuhayli dalam tafsirnya menyatakan sebahagian ahli tafsir berpendapat, ulil amri ialah pemerintah dan beliau juga menyebut sebahagian yang lain menjelaskan ulil amri ialah ulama yang menerangkan hukum syarak kepada masyarakat. Kesimpulannya, kita perlulah mengingati jasa yang telah disumbangkan dan mentaati pemimpin-pemimpin kita.


PENDAHULUAN


 بسم الله  الرحمن الرحيم                           
Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat ilahi kerana dengan limpah kurnianya dapat saya selesaikan tugasan atau kerja kursus yang diberikan oleh ustaz Abd Aziz Harjin, iaitu pensyarah bagi matapelajaran Islam And Asian Civilization (CTU 551) ini dengan lancar. Terima kasih kepada ustaz kerana memberi tunjuk ajar kepada saya dalam menyelesaikan tugasan ini serta dalam sesi pengajaran dan pembelajaran (P&P). Selain itu juga, jutaan terima kasih diucapkan kepada imam masjid Kampung Bukit Nambua, Kuala Nerang yang sanggup memberi peluang kepada saya untuk menemuramah beliau tentang latar belakang, masalah yang dihadapi, sumbangan serta pencapaian yang diperoleh. Tidak lupa juga, ribuan terima kasih kepada ibu dan rakan-rakan yang turut serta membantu saya bagi menjayakan kerja kursus ini. Penulisan esei ini bertujuan menerangkan sejarah seorang imam, peranan-peranan imam, serta masalah yang dihadapi oleh seorang imam. Selain itu, ia bertujuan memperingati kita supaya mengenang jasa dan mentaati pemimpin-pemimpin kita. Secara tuntasnya, imam merupakan pemimpin yang memainkan peranan penting dalam membina ukhuwah dalam masyarakat terutama umat islam.


HURAIAN

*LATAR BELAKANG*
              Tokoh yang saya pilih merupakan seorang imam yang menetap di kampung saya. Tokoh yang dimaksudkan ialah Tuan Haji Ismail bin Md Taib, imam Kampung Bukit Nambua, Kuala Nerang, Kedah. Beliau dilahirkan pada tahun 1949 bertempat di Kampung Bukit Nambua. Beliau dibesarkan dan diberi tunjuk ajar oleh kedua ibu bapa yang sangat prihatin dan tegas. Beliau merupakan anak bongsu daripada 3 orang adik beradik. Kini beliau telah pun berusia 62 tahun. Beliau telah mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Nako Nambua, Kuala Nerang yang berada tidak jauh dari rumahnya. Setelah mendapat keputusan yang cemerlang semasa di sekolah rendah, beliau menyambung pelajaran di Sekolah Menengah Lanjutan Pokok Sena, Alor Setar. Seterusnya beliau melanjutkan pelajaran di Maktab Perguruan Tuanku Bainun, Penanti, Bukit Mertajam, Seberang Perai, Pulau Pinang. Beliau mengikuti pelajaran di maktab tersebut selama 2 tahun. Selepas itu, beliau membuat keputusan untuk melanjutkan pelajaran di Pusat Pengajian Tinggi Islam Nilam Puri, Kelantan. Beliau mengikuti pelajaran dalam bidang pengajian islam. Beliau telah mendapat keputusan yang cemerlang di Pusat Pengajian Tinggi tersebut. Beliau sangat bersyukur kehadrat ilahi kerana selepas beberapa bulan, beliau telah mendapat tawaran bagi mengikuti pengajian ke peringkat diploma di Jamiah Umul Qura’, Mekah. Beliau  mengikuti pengajian tersebut di Fakulti Bahasa Arab & Pengajian Islam.
                Setelah tamat pengajian di Jamiah Umul Qura’, Mekah, beliau mendapat tawaran untuk menjadi tenaga pengajar iaitu sebagai guru agama. Beliau menjadi tenaga pengajar sebagai guru agama tersebut selama 29 tahun iaitu bermula dari tahun 1979 hingga tahun 2008 di bawah Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK). Pada masa yang sama, pada tahun 1979, beliau telah dilantik sebagai imam bagi Kariah Bukit Nambua. Beliau berasa sangat bertuah dan bersyukur kepada Allah S.W.T  kerana diberi kepercayaaan oleh semua golongan masyarakat kampung untuk memegang jawatan yang besar sebagai imam masjid.  Beliau menjadi imam di Masjid Al-Falah Kariah Bukit Nambua.
              Masjid Al-Falah ini telah didirikan pada tahun 1964 yang diasaskan oleh Allahyarham Hj Md Diah bin Awang. Masjid ini berkeupayaan menampung jemaah seramai 1 500 orang, manakala struktur senibina masjid ini pula terdiri daripada batu dan kayu. Dalam pengurusan masjid ini, beliau merupakan pengerusi masjid dan dibantu oleh ahli jawatankuasa yang lain, iaitu setiausaha masjid,Tn Hj Azmi bin Hassan (Penolong Kanan HEM SMK Dato’ Syed Ahmad), bendahari masjid, Hj Shaari Lebai Mat, bilal, Alias bin Salleh serta ahli jawatankuasa masjid- Abd Aziz Hj Hamid, Ahmad bin Othman dan Abdul Roni b. Che Mat. Masjid ini dilengkapi dengan kemudahan-kemudahan seperti tabung masjid, papan kenyataan masjid, kalendar masjid, senarai program atau aktiviti masjid, dewan kuliah serta bilik mesyuarat.
               Pada tahun 1979 juga, beliau telah mendirikan rumahtangga dengan Hjh Zalehah binti Hj Ibrahim. Isteri beliau merupakan seorang pengetua di sebuah Sekolah Agama Rakyat di mana beliau juga pernah berkhidmat di institusi pengajian tersebut. Sekolah yang dimaksudkan adalah Sekolah Menengah Agama   Al-Khariah, Jalan Empangan Pedu, 06300 Kuala Nerang, Kedah.  Hasil ikatan perkahwinan ini, pasangan tersebut telah dikurniakan 12 orang cahaya mata, iaitu 7 orang anak lelaki dan 5 orang anak perempuan. Kesemua anak-anaknya boleh dikatakan mengikut jejak langkahnya dalam mengikuti pelajaran dalam bidang pengajian islam. Beberapa orang di antara mereka telah pun berjaya melanjutkan ke luar negara seperti Jordan dan Mesir, manakala beberapa orang anaknya yang lain sedang mengikuti pengajian di peringkat menengah rendah dan institusi-institusi pengajian tinggi di Malaysia seperti Universiti Islam Antarabangsa, Universiti Malaya, dan Universiti Utara Malaysia.
               Di samping itu, beliau turut diberi peluang untuk menjawat jawatan sebagai ketua kampung bagi Kampung Bukit Nambua.  Beliau diberi tugas tersebut bermula 01 Oktober 2008 hingga 31 September 2010. Kampung Bukit Nambua dibuka pada tahun 1954, mempunyai keluasan sebanyak  4  1/2 hektar, manakala jumlah penduduk  kini  dianggarkan seramai 1 370 orang. Beliau melaksanakan tugasnya sebagai ketua kampung dengan penuh keprihatinan, tanggungjawab dan mesra. Pengurusan atau setiap aktiviti yang dijalankan di dalam kampung sentiasa berjalan dengan lancar. Sekiranya beliau mempunyai masa yang terluang, beliau turut mengikuti setiap aktiviti yang dijalankan oleh penduduk kampung.

* SUMBANGAN*
             Beliau telah mewujudkan atau menubuhkan sebuah surau yang terletak berhampiran dengan rumah beliau. Surau tersebut ditubuhkan lebih kurang 30 tahun, yang dapat menampung seramai 50 orang. Surau tersebut ditubuhkan bertujuan membantu anak-anak kampung yang terdiri daripada golongan remaja lelaki dan perempuan serta kanak-kanak untuk mempelajari dan mendalami ilmu-ilmu agama. Beliau juga turut membantu anak-anak kampung dalam mengikuti pengajian al-Quran dan tajwid. Beliau sangat menekankan tajwid dalam bacaan ayat-ayat al-Quran serta memberi tunjuk ajar yang jelas dan sempurna dalam penyampaian bacaan al-Quran. Sesi pengajian al-Quran akan dilaksanakan pada waktu malam, iaitu di antara jam 8 hingga 10 malam. Sesi pengajian ini diadakan setiap hari kecuali pada hari Khamis. Beliau turut menunaikan solat maghrib dan isyak secara berjemaah bersama anak-anak yang mengikuti pengajian al-Quran daripada beliau. Jika berkesempatan, beliau akan menyampaikan kuliah maghrib kepada anak-anak murid beliau sebelum memulakan pengajaran al-Quran. Beliau juga turut dibantu oleh isteri dalam menyampaikan pengajaran al-Quran.
            Di samping itu, beliau juga turut menerbitkan beberapa buah buku ilmiahnya sendiri yang dapat menjadi rujukan kepada penduduk-penduduk kampung. Buku-buku ilmiah tersebut akan diletakkan di sudut bacaan di masjid dan juga di surau yang berhampiran rumahnya, Kampung Bukit Nambua. Oleh hal yang demikian, penduduk-penduduk kampung boleh menambahkan pengetahuan dan meningkatkan lagi kefahaman mereka tentang hukum-hukum islam dan sebagainya yang berkaitan dengan keagamaan melalui koleksi-koleksi buku yang telah disediakan. Kadangkala, beliau juga memberi buku-buku yang diterbitkan oleh beliau secara percuma kepada sesiapa yang hadir awal ke masjid setiap hari Jumaat. 
             Dalam aktiviti masjid pula, beliau banyak menyumbangkan tenaga dalam mempertingkatkan fungsi sebuah masjid sebagai rumah ibadat dan rumah Allah. Beliau sering menyampaikan kuliah kepada para jemaah, menunaikan solat secara  berjemaah pada setiap waktu solat fardhu di masjid, dan lain-lain lagi. Beliau juga menjemput penceramah luar untuk menyampaikan ceramah berkisarkan tentang  ilmu agama kepada penduduk kampung seterusnya dapat memeriahkan lagi suasana masjid. Selain itu, aktiviti kemasyarakatan turut dijalankan di masjid seperti bergotong-royong membersihkan kawasan masjid serta kawasan tanah perkuburan, mengadakan majlis tadarrus al-Quran, Beliau juga turut memberi sumbangan kepada anak-anak yatim,fakir miskin, penduduk yang kurang berkemampuan, dan sebagainya.
             Selain itu, beliau juga sering mengadakan pertandingan tadarrus al-Quran, menghafaz ayat-ayat suci al-Quran, bertaranum dan lain-lain lagi. Hal ini bertujuan menggalakkan masyarakat terutama remaja dan kanak-kanak untuk membiasakan diri dan mendekatkan diri dengan kitab suci al-Quran. Alhamdulillah, setakat ini pertandingan yang telah dijalankan mendapat sambutan dalam kalangan masyarakat. Kanak-kanak yang berusia dalam lingkungan empat hingga enam tahun juga turut serta dalam pertandingan tersebut. Dalam bulan Ramadhan pula, pelbagai aktiviti dilaksanakan seperti penyediaan bubur lambuk kepada masyarakat, berbuka puasa bersama-sama, mewujudkan kumpulan tadarrus al-Quran yang diadakan setiap malam selepas solat tarawih, dan sebagainya. Hal ini sesungguhnya dapat meningkatkan lagi hubungan atau  tali persaudaraan antara umat islam.   

*MASALAH  DAN HARAPAN*

             Sepanjang perjalanan beliau menjadi seorang imam, beliau telah mengharungi pelbagai masalah yang berkaitan dengan masjid. Antaranya, masalah kecurian wang tabung masjid, alatan serta kelengkapan di dalam masjid dan sebagainya. Kini, masalah yang timbul adalah masalah kekurangan kemudahan di masjid, seperti kemudahan perpustakaan, bilik imam, bilik tetamu dan ruangan ‘IT’ atau bilik komputer. Selain itu,masjid ini masih tidak mencapai keselesaan yang sempurna kepada para jemaah iaitu dari sudut ruangan dalam masjid. Oleh hal yang demikian, beliau berhajat untuk membaik pulih struktur masjid tersebut bagi meningkatkan lagi kemudahan serta kesempurnaan jemaah. Beliau juga berharap pihak-pihak tertentu dapat membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi.

*PENCAPAIAN*


Alhamdulillah, dengan keberkatan yang diberikan oleh Allah S.W.T ke atas kesungguhan beliau, usaha-usaha beliau dalam menuntut ilmu agama dan lain-lain, kesanggupan serta kesabaran beliau dalam menunaikan tanggungjawab sebagai guru agama dan imam, beliau dikagumi disanjungi oleh semua golongan masyarakat. Beliau juga telah dianugerahkan pelbagai jenis penghargaan sepanjang kerjaya beliau sebagai guru agama dan imam.Baru-baru ini, pada tahun 2009, beliau telah dianugerahkan Pingat Bintang Kehormatan Masyarakat (BKM) Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah Darul Aman.   

KESIMPULAN
               
         Sebagai kesimpulannya, imam merupakan pemimpin yang mempunyai tanggungjawab yang besar. Imam memainkan peranan yang besar dalam mewujudkan masyarakat yang mempunyai ukhuwah yang baik terutama sebagai umat islam. Sebagai pengikut, kita seharusnya menghargai segala usaha dan kebajikan yang telah dilaksanakan oleh pemimpin kita. Untuk pengetahuan semua, kepimpinan dalam sistem pemerintahan dan pentadbiran Islam adalah berlandaskan konsep al-Imamah. Ketaatan seorang pengikut kepada pemimpin atau seorang pekerja kepada majikan bukan mutlak, namun perlu melihat beberapa etika seperti mana digariskan secara dasarnya oleh al-Quran dan al-Sunnah. Jika pemimpin tersalah dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang ketua dengan kesalahan yang bercanggah syariat Islam, terutama ketika dalam memberi sesuatu arahan, maka pengikut hendaklah dengan penuh diplomasi menegur kesalahan pemimpin dan memperbetulkan supaya arahan tidak dipatuhi secara membuta tuli. Apabila selepas teguran dilakukan, pemimpin atau ketua masih dengan keangkuhannya, maka di situ tiada lagi ketaatan patut diberikan.

Justeru, kepemimpinan hanya selayaknya diberikan kepada mereka yang benar-benar berkemampuan memikul amanah berat ini. Jawatan yang disandang bukanlah tiket untuk mendapat kemasyhuran dan menunjukkan kuasa, tetapi ia tugas yang memerlukan kekuatan fizikal, mental serta diperkuatkan dengan unsur kerohanian.


LAMPIRAN



                                                     Tn Hj Ismail bin Md Taib



SEKITAR KAWASAN KEDIAMAN IMAM & SURAU  :

   SURAU YANG DITUBUHKAN
 

<>                  <> 
                         
    
SEKITAR KAWASAN MASJID AL-FALAH:





PINTU MASUK MASJID
 


DEWAN KULIAH

TEMPAT SOLAT PEREMPUAN

 

JAM DIGITAL



RUANG SOLAT
                                               





   

                                             SIJIL PENGIKTIRAFAN SEBAGAI KETUA KAMPUNG



RUJUKAN
                             
Tn Hj Ismail bin Md Taib,                                                                                                               imam/pengerusi masjid al-Falah Kariah Bukit Nambua, Kuala Nerang, Kedah

Murtadha Muthahhari, Imamah dan Khilafah, CV. Firdaus, Jakarta, 1991, pp. 22